Sunday, 14 June 2015

Penampilan Diri





Menurut kamus dewan, penampilan membawa maksud perihal (tindakan/ usaha) menunjukkan seseorang atau sesuatu. Ini meliputi bagaimana seseorang itu menonjolkan imej, cara dan gayanya apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.  Dewasa ini manusia lebih gemar berurusan dan hormat pada orang yang berpenampilan menarik. Manusia turut memilih teman dan jodoh berdasarkan pandangan pertama mereka tanpa menyelidik sikap sebenar yang tersirat dari penampilan yang menarik itu. Penampilan yang baik pasti mendatangkan emosi yang baik terhadap si pemakai dan diberi pandangan yang baik oleh masyarakat. Manakala, penampilan yang tidak bersesuaian hanya mendatangkan pandangan negatif kepada si pemakai.

Etika penampilan diri


Ramai yang masih tidak sedar akan kepentingan etika penampilan diri. Setiap institusi menekankan etika berpakaian untuk setiap penghuninya seperti institusi pendidikan, pejabat, hospital dan tempat beribadah yang meletakkan cara dan peraturan berpakaian kepada setiap pengunjung dan penghuninya. Penampilan yang kemas dan bersesuaian pastinya menjadi syarat utama. Antara perkara yang dititik beratkan dalam penampilan diri adalah kasut yang bertutup dan bersih, pakaian kasual formal atau beruniform, aksesori dan potongan rambut yang kemas dan disisir rapi terutamanya bagi kaum lelaki.

Menilai tanpa mengenali


Hal menilai orang secara sembarangan kerap terjadi dalam masyarakat kini. Mereka sering kali berprasangka buruk dengan hanya melihat luaran seseorang. Masyarakat kini gemar memberi perspektif yang buruk dengan hanya pandangan pertama, dan menyebarkan pandangan mereka tanpa usul periksa dan hasilnya menyumbang persepsi negatif masyarakat setempat. Rentetan daripada pandangan yang disebarkan itu secara tidak langsung akan menghukum si pemakai dan memberi aib yang besar, selepas isu menjadi semakin buruk barulah masyarakat menyelidik dan meminta maaf atas penilaian mereka. Keadaan ini akan memberi kesan emosi dan mental terhadap seseorang.

Pakaian menjolok mata memberi kesan negatif


Masih ramai golongan yang tidak sedar dan memakai pakaian yang menjolok mata khususnya golongan wanita. Mereka berlumba-lumba untuk mengikut perkembangan fesyen terkini yang kebanyakannya mengundang pandangan dan perlakuan negatif orang lain. Pakaian menjolok mata pastinya merangsang nafsu golongan lelaki. Sudah terlalu banyak berita tentang perlakuan sumbang, rogol dan sebagainya yang di dorong oleh pakaian yang menjolok mata, tetapi berita tersebut hanya dijadikan sebagai angin lalu. Ramai golongan wanita yang masih berdegil dan masih berketrampilan menjolok mata kerana mereka bimbang digelar tidak mengikut perkembangan fesyen. Golongan lelaki juga tidak ketinggalan, mereka sering dilihat berjalan dengan hanya berbaju singlet demi menayang tubuh sasa kerana berasa begitu bangga. Hanya segelintir golongan masyarakat yang akan terpesona, tetapi masih ramai masyarakat di luar yang kurang senang dengan penampilan begitu kerana merasakan tidak bersesuaian, teruatamanya jika pakaian seperti itu dipakai untuk mencuri pandangan dan tarikan orang sekeliling di tempat awam. Orang tua juga pastinya tidak selesa dengan pakaian yang menjolok mata oleh anak muda kini kerana orang tua masih menjaga adab timur dan tidak gemar dengan pakaian yang bercirikan budaya barat.

Warna pakaian mempengaruhi emosi


Menurut ahli psikologi, warna pakaian turut mempengarusi emosi seseorang. Terdapat sesetengah pihak percaya warna pakaian membawa hasil atau keuntungan terhadap sesuatu perkara kerana warna ini membawa aura kepada si pemakai. Warna pakaian juga sering dikaitkan dengan sifat peribadi seseorang kerana warna tersembut mampu memancarkan aura tertentu dan mempengaruhi emosi seseorang. Terdapat pelbagai warna dalam pakaian secara khusus ataupun kombinasi yang mampu memberi semangat, bahagia, ceria, suram dan banyak lagi. Misalnya, pakaia berwarna biru dapat memberi kedamaian, kesejukan dan kesabaran. Warna hijau pula dapat memancarkan kedewasaan dan kematangan dan warna ini sangat sesuai digunakan oleh wanita dewasa. Selain itu terdapat warna yang menunjukkan keberanian dan berkeyakinan tinggi seperti warna merah. Warna merah ini akan menjadikan orang sekeliling merasa kagum dengan diri anda. Warna putih kerap menjadi pilihan ramai kerana warna ni melambangkan kesucian dan memperlihatkan identiti semulajadi. Warna putih sering kali menjadi pilihan ketika menghadiri temuduga kerana warnanya yang sesuai dengan setiap hal dan ramai yang Berjaya temuduga dengan berpakaian putih. Terdapat pelbagai warna lagi dan semestinya, warna yang betul haruslah sepadan dengan majlis.

Fesyen kanak-kanak

 
Kanak-kanak adalah kain putih yang dicorak oleh ibu bapa mereka. Dalam kontek fesyen, ibu bapa cenderung memilih pakain anak mereka mengikut citarasa ibu bapa dan fesyen terkini. Ibu bapa gemar memilih baju yang menjadi perhatian dan menarik orang ramai agar dapat menonjolkan anak mereka. Anak-anak dididik dari awal dengan cara berpakaian. Terdapat ibu bapa yang kurang arif dalam soal pemilihan pakain anak mereka dan mereka tidak sedar akan kesilapan mereka akan menarik golongan pedofil dan ini memberi kesan buruk kepada anak mereka. Ibu bapa seharusnya bijak membentuk anak mereka dalam soal pemilihan pakaian. Tambahan lagi pemakaian turut mempengaruhi pembentukan dan perwatakan anak-anak.
Pakaian memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian. Setiap majlis dan situasi memerlukan pakaian yang bersesuaian untuk menarik aura positif. Masyarakat seharusnya peka dengan ketrampilan diri yang cantik, kemas dan bergaya tanpa menyumbang pandangan serong masyarakat sekeliling. Walau bagaimanapun bukan semua orang yang berpakaian cantik mempunyai sikap yang baik dan kaya dan sebaliknya juga, bukan semua orang yang berpakaian buruk itu mempunyai sikap yang buruk dan miskin, kita seharunya mengenali mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang bentuk penilaian.  


No comments:

Post a Comment